Oleh: Yoan S Nugraha

tepak sirih melayu

Kussemangat, luar biasanya rasa takjub ini menyaksikan pelbagai perhelatan yang sentiasa mengedepankan adat terlebih dahulu, terkhususnya di Negeri pantun kepualauan segantang lada ini. Majelis-majelis yang menaja acara pun jua bertambah khidmad tatkala pembuka acara disuguhkan ritual adat yang dikemas dalam bentuk tari-tarian. Tari makan sirih empunya nama.

Tari-tarian yang ditaja sedemikian rupa untuk menyambut tetamu dan atawa sebagai pembuka di setiap perhelatan tiadalah semata-mata hanya di melayu sahaja, di pelbagai semenanjung negeri jua sedikit-sebanyaknya pun ada menyuguhkan tetarian sebagai suguhan pembuka atawa menyambut tetamu. Di Papua misalnya, tetamu yang hadir di suguhkan dengan tetarian adat yang bersanding dengan rentak derap tabuhan Tifa, sebangsa gendang khas Papua. Ada jua tetarian Remo, khas Jawa Timur.

Dari Kota Pempek, Pelembang ada tari Gending Sriwijaya yang memamerkan keluhuran kejayaan dan keagungan kemaharajaan Sriwijaya. Di Sulawesi ada tetarian Mappakaraja yang ditaja khusus untuk menyambut tetamu serta ada jua tari Kataga, tari Pendet dan tetarian lainnya yang menjadi kekhasan derah masing-masing.

Kekhasan tetarian itu semata-mata hendak menunjukkan keperkasaan budaya kepada tetamu yang dijemput hadir dan atawa yang berhormat bagi masyarakat.

Tak heran jika di penghujung tetarian itu, tetamu yang berhormat disuguhkan kalungan ragam bunga, selempang kain, di sarungkan parang dan sebangsanya. Termasuk pada adat tetarian kita puak melayu juga disuguhkan sejumput racik sirih penjamah, tanda sudi dan berkenan ianya untuk bersebati dengan melayu.

Syahdan, yang menokak pekung kita pada tajur pikir tiadalah hanya sebatas keunikan yang mana tetarian makan sirih adalah satu-satunya tetarian penyambutan yang diakhiri dengan sesuatu yang dikunyah dan ditelan, yang menjadi lambang persebatian puak tetamu dengan puak melayu atawa yang menaja acara.

Lebih dari itu, pemaknaan tetarian makan sirih ini memberikan erti dan simbol berkenannya untuk disambut sebagai tamu. Itulah letak keperkasaannya tetarian makan sirih empunya kita.

Dalam tulisan makalah-makalahAllahyarham Drs. Amiruddin,selaku penghulu yang membawa tetarian makan sirih ke tanah Melayu kepualauan setelah jauh perjalanan tari makan sirih dari riau yang berhulu pada Deli Serdang. beliau menyebutkan bahawa, menjamah sirih dalam helat tetarian makan sirih adalah hal wajib erti kata ianya adalah fardu ‘ain dan justeru disitulah letak kesakralannya.

Asbabnya lagi di tiap-tiap racik sirih yang dijamahkan itu empunyai makna agung dalam kehidupan masyarakat kita puak melayu. Terlebih-terkurang ada 6 tajuk kupasan makna sejumput sirih itu yang itaja didalam tepak selain makna rukun iman bila dikait sepadankan dengan Islam. Buah pinang misalnya, yang sudahpun dikacip halus memberikan erti keikhlasan atawa ketulusan hati seumpama mempulur pinang.

Sedangkan kapur sirih yang berwarna putih melepak itu tentu memberikan erti kebersihan dan kesucian hati. Beda pula dengan sekutip gambir yang bukan hanya sebagai puak yang membuat kunyah sirih menjadi merah tapi makna disebalik itu melambangkan keberkatan dan penawar dalam tutur kata yang cela.

Sedangkan tembakau yang penggunaannya untuk menyugi gigi diibaratkan sebagai kebersihan jasmani si empunya badan agar terbebas dari serangan penyakit. Sedangkan kacip memberikan erti sebagai mufakat kata atawa se-iya se-kata dalam mengambil keputusan.

Dan yang terakhir sudah tentu daun sirih yang empunyai erti keagungan kan kepasrahan kepada Sang Khalik. Susunan daunnya pun jua dibagi menjadi dua, ada yang telentang danada yang telungkup. Yang mana sirih telentang diibaratkan sebagai penerima yang menerima apa adanya tanpa memancang tanda batas. Sementara sirih telungkup adalah lambang dari memberi, yang ertinya memberi setulus hati. Sementara daun sirih yang bertemu ruas sebagai makna harapan tercapainya kesepakatan di kedua belah pihak.

 

Takjubnya kita ketika baru mengupas makna sirih dan keperkasaan adat didalamnya, tapi apalah daya ketika mata-mata kita yang menyaksikan suguhan tetarian sarat makna ini hanya sebatas kulit belaka, seperti terpisah antara tari dan arti tiada lagi bersebati. Bahkan tiada sedikit pula yang menggantikan keagungan adat di dalam sebuah tepak ini dengan gula-gula dan produk modern lainnya, miris.

Yang lebih menoreh hati lagi tatkala handai-taulan sekalian menyaksikan sirih yang sarat makna adat disuguhkan oleh penari dengan badan sedikit membungkuk tanda hormat, ditatah dengan kedua tangan dalam wadah tepak yang agung itu hanya sebatas mencuil sedikit sahaja, lalu kemudian ujung sirih yang hanya di cuil sedikit itu pun di letakkan semula atawa dibuang begitu sahaja.

Ini penghinaan adat terbesar yang dipampangkan kehadapan kita. Secara hukum adat, tetamu yang berhormat itu tiada berkenan dengan tajuk tawa perhelatan yang kita buat dengan leguh-legah itu, atawa bisa dengan makna lain yang berhormat tiada sudi berada di hajat kita itu.

Kemudian yang lebih takjub lagi, meski sedemikian hina perlakuan yang berhormat kepada keagungan adat dalam setepak sirih itu tetap sahaja di alu-alukan dengan tepukan tangan yang bergemuruh. Ini juga dalam kacamata adat, berarti kita pun jua sama derhakanya dengan si berhormat itu dalam memberlakukan keagungan adat.

Sirih kita yang agungpun demikian adanya, semakinlah tiada perkasa dan tampak impotennya di hadapan para jemputan yang berhormat itu. Celakanya lagi, setakat ini, yang berhormat iu tiada sebatas yang berhormat belaka, tapi yang berhormat dalam erti sebenarnya. Pejabat tinggi misalnya, dari setakat lurah, camat, bupati, walikota hingga gubernur yang melayu jua pun tiada memberlakukan adat melayu dengan melayunya. Tiada bijak menempatkan tentang mana yang dahulu di dahulukan, yang kemudian di kemudiankan. Apa nak jadi?

Penolakan dan tidak berkenannya dalam menjamah sirih tampaknya jua diabaikan serenta oleh para penari yang ada atawa si empunya laman tempat para penari itu dilatih. Sila cuba telek ulang, adakah lagi yang kini para penaja tetarian makan sirih itu memberlakukan sirih di dalam tepak dengan layaknya adat?. Sirih yang harusnya lengkap dengan selaksa racik yang ada diganti dengan lembar-lembar daun sirih belaka yang tak tentu rupa mana yang sulung, mana yang temu ruas, dan tiada sedikit jua yang membuang jauh makna adat dalam setepak sirih itu dan ditaja ulang dengan Relaxa, KISS, Mentos, KOPIKO, atawa gula-gula lainnya.

Ini merupakan PR yang menambah kerja kita semua dalam memberlakukan adat mesti pada tapaknya. Wabilkhusus PR ini adalah amanah untuk Lembaga-lembaga adat kemelayuan yang tiada hanya setakat berlomba-lomba mencari cara untuk mencairkan proposal belaka, namun juga memberikan erti lebih dalam mendaya ulang hakikat adat melayu sebenarnya. Erti lain untuk kita yang konon mengaku sebagai lascar atawa pejuang budaya ini adalah tiada perlu berleguh-legah hendak menyoalkan hal yang jauh-jauh, cukup yang dekat dahulu kita rapikan. Jika tidak maka, impotennya setepak sirih kita ini akan semakin menjadi-jadi dan tiada tampak lagilah keperkasaan adat didalamnya.

Bukankan tepak sirih adalah penghulu adat dalam setiap perhelatan yang ada, baik itu bertunang, menikah, bertamu, dan berhajat. Bukankah tepak sirih adalah gerbang antara maksud dengan maksud? Antara hajat dengan hajat?, antara niat dengan niat?. Jika demikian adanya maka, sudikah kita menyaksikan ianya merana dalam impotennya yang berlarut-larut itu adanya?.

Banyak kajian tentang budanya mengunyah sirih ini yang sudahpun ada sejak lebih dari 300 tahun silam. Tiadapun hanya sebatas teruntuk budaya tertentu sahaja, namun lebih mencangkup kepada selaksa golongan yang ada, dari mulai darjah paling bawah, hingga darjah kalangan istana, seperti yang berhormat-berhormat saat ini.

Dahulu kala seperangkat sirih yang kita sebut dengan setepak sirih ini begitu gagah dan perkasanya, merupakan hulu lambang yang empunyai erti paling penting, hingga pemakainyapun jua tiada boleh sembarangan. Tapi berkebalikanlah adanya setakat ini, keperkasaan setepak sirih semakin uzur semakin tak suah sama sekali menampakkan keperkasaannya. Jika adat budaya dalam setepak sirih yang apeketidak sahaja sudahpun impoten, agaknya pula bagaimana dengan ragam adat yang mengekor di belakangnya?.– cobaan. ***

Tinggalkan Balasan