Oleh :
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Zarina Tajudin

Pantun merupakan khazanah budaya nonbendawi (intangible) khas di alam Melayu, juga menggambarkan struktur pemikiran atau struktur kognitif Melayu yang dibentuk melalui proses mental, rasional-empiris-imaginatif-intuitif serentak. Pantun yang sempurna dan popular ialah pantun empat baris sebagaimana yang tersisip dalam teks Melayu lama, terutama karya historiografi yang merupkan gabungan sastera rakyat dengan sastera istana. Kepadatan pantun terlihat pada binaan strukturnya yang tidak membazir suku kata dan kata. Kehadiran baris pembayang bagi mengimbangi baris maksud sudah cukup membuktikan ketelitian pencipta pantun.

Selain struktur yang simetrikal, unsur kecerdasan dalam pantun terlihat pada penggunaan unsur alam, flora dan fauna, kerana imej yang terpilih itu mampu memberikan bayangan maksud yang tersirat serta lestari dari segi sifatnya. Salah satu imej flora yang kerap ditemukan dalam pantun ialah bunga. Untuk menjelaskan perkara tersebut, makalah ini akan menganalisis metafora bunga dalam pantun bagi meneliti kesamaan imej bunga dengan mesej yang dihajatkan oleh pengkarya. Makalah ini memilih sebilangan pantun yang terkumpul dalam buku Pantun Melayu: Bingkisan Permata (Harun Mat Piah, 2001) sebagai data kajian.

Binaan Struktur dalam Pantun

Pantun empat kerat terbahagi kepada dua bahagian, iaitu dua baris awal sebagai pembayang dan dua baris akhir ialah maksud. Pembayang tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tetapi mesti mencerminkan bait maksud. Bukan hanya irama tengah dan akhir dipentingkan dalam binaan pantun tetapi lebih penting lagi ialah gandingan makna tersirat dalam bait pembayang dengan makna tesurat dalam bait maksud. Menurut Hassan Ahmad (2016), pembayang maksud dalam bait pantun mahupun dalam peribahasa menggambarkan akar imaginatif manusia Melayu manakala rangkap maksud membayangkan akal rasionalnya. Rangkap pantun boleh berupa ungkapan harfiah dan boleh juga berupa metafora, iaitu berlakunya proses pemetaan atau hubungan semantik antara rangkap pantun. Contohnya, pantun berikut:

Anak beruk dimakan siput, B
Disambar oleh buaya katak;

Laksana lambuk di tengah laut,
A Tenggelam timbul dilambung ombak.

Rangkap pertama bercorak fantastik kerana B sebagai gambaran A. Gambaran atau citraan dibentuk oleh akar imaginatif atau perasaan manusia yang bukan konseptual atau analitikal. Gambaran ini boleh jadi berfungsi sebagai pembayang maksud atau bersifat struktural sebagai persediaan rangkap A; boleh jadi dapat berdiri sendiri sebagai ungkapan harfiah atau metafora, tetapi fungsinya yang lebih ketara adalah sebagai penghubung ikonik dan simbolik atau alam visual (gambar) daripada alam luar (alam fenomena) ke alam konseptual dan ke alam fikiran pemantun. Oleh itu, hubungan antara B dengan A dalam pantun dapat dianggap sebagai skema kognitif yang sangat kompleks dari segi bentuk atau strukturnya.

Berdasarkan pantun di atas, rangkap kedua merupakan metafora pantun ini. Orang yang hidupnya tidak berpedoman diumpamakan sebagai lambuk atau perahu yang tenggelam atau timbul dilambung ombak. Leksikal-leksikal ini merupakan ungkapan harfiah yang menyatakan makna hidup yang tidak berpedoman seperti lambuk dilambung ombak. Orang seperti ini sama seperti kisah anak beruk yang kehilangan ibunya (mungkin, lalu ditimpa nasib malang: dimakan oleh siput, disambar buaya katak pula yang mengumpamakan kejadian yang pelik dan fantastik. Metafora dalam rangkap pantun ini juga dapat berfungsi sebagai gambaran jelas untuk membayangkan betapa malangnya nasib orang yang tenggelam timbul dalam lautan hidup (Hassan Ahmad, 2016).

Metafora: Konsep dan pemaknaan

Dari sudut linguistik, Lakoff dan Johnson (2003) menyatakan metafora sebagai pemahaman sesuatu berdasarkan konsep pemahaman sesuatu yang lain. Atau memahami sesuatu domain konseptual berdasarkan domain yang maknanya bersifat harfiah (domain sumber). Metafora konseptual biasanya mengamalkan konsep konkrit sebagai sumber, manakala konsep abstrak atau fizikal sebagai sasaran (Zoltan Kovecses 2010). Metafora konseptual bertindak sebagai aset pemetaan dengan menggunakan perkataan ‘kepada’/to atau untuk mencirikan hubungan antara dua konsep (A dan B) dalam proses metafora. Perkataan ‘kepada’/to merujuk kepada maksud “difahami”, iaitu adakah maksudnya tepat atau memiliki pelbagai maksud lain. Pemetaan metafora konseptual membawa erti bahawa terdapat satu set keserupaan sistematik (systematic correspondences) antara domain sumber (pembayang) dengan domain sasaran (maksud).

Metafora Melayu dibentuk melalui kaedah atau proses perumpamaan atau perbandingan, atau jenis yang bersifat analogis, kiasan, bidalan, yang disampaikan melalui pelbagai jenis simpulan bahasa, peribahasa, pepatah, metonimi atau personifikasi. Menurut Za’ba (2002), semua bahasa penuh dengan peribahasa, bidalan, perumpamaan, mengikut kadar kemajuan bahasa itu. Ini bermakna, manusia berfikir dan membentuk konsep tentang dirinya, tentang lingkungan sosialnya dan tentang alam kosmos melalui wacana bersifat literal semata-mata atau tafsiran yang lebih mendalam bagi memahami maksudnya yang tersirat dan memahami konteks (Hassan Ahmad, 2016).

Orang Melayu sering memilih perkataan berdasarkan kreativiti mereka bagi menggambarkan mesej.Hal ini bermakna, proses berfikir manusia bersifat bebas dan terbuka. Pelbagai bentuk metafora dihasilkan oleh orang Melayu, iaitu metafora metafizik, metafora dalam bentuk cerita, metafora personifikasi dan metafora metonimi. Pandangan ini disokong oleh Choamsky (1986) yang mengandaikan bahawa manusia  mengetahui bahasanya secara intuitif; bererti, manusia itu mempunyai kebolehan, yakni language competence atau kecekapan  lingusitik. Hassan Ahmad (2016) mentakrifkan metafora sebagai bahan yang penting untuk mengkaji akal budi dan cara orang Melayu berfikir dan memahami realiti alam sekitar.

Unsur alam biasanya dijadikan pantun sebagai elemen sandaran untuk menaakul. Terdapat analogi dan falsafah yang objektif dalam penggunaan perlambangan unsur alam ini. Elemen alam yang agak dominan diterapkan dan menjadi pilihan pengkarya dalam menyerlahkan unsur perasaan, aura estetika dan nilai masyarakat, misalnya  bunga. Imej bunga sering digunakan dalam pantun (rujuk Muhammad Hj Salleh, 1980; Tenas Effendy, 1990; Za’ba,1991; Braginsky, 1994; Harun Mat Piah, 1997).

Metafora dalam Pantun Melayu

Metafora seringkali dimanfaatkan sebagai wahana menyatakan maksud dan tujuan tertentu. Dalam perspektif Barat metafora sangat rapat  dalam kehidupan harian, bukan sahaja dalam bahasa, tetapi juga dalam pemikiran dan tingkah laku (Lakoff dan Johnson, 1980). Metafora dalam pantun Melayu merentasi kehidupan seharian masyarakat Melayu terdahulu dan masa kini dalam menyampaikan pemikiran, perasaan, tindakan. Ungkapan metafora konseptual ataupun abstrak tidak lahir secara spontan tetapi berdasarkan pengalaman yang berpanjangan dan melalui renungan akliah pemikir Melayu yang berinteraksi dengan alam sekelilingnya (Hassan Ahmad, 2003).

            Za’ba (2002) mendefinisikan metafora sebagai peribahasa yang menyampaikan sesuatu makna dengan mengumpamakan atau mengiaskan sesuatu perkara lain dan erti yang menjadi dua lapis. Secara praktisnya, metafora ialah perbandingan secara langsung sesuatu unsur dengan unsur yang lain secara terus tanpa menggunakan kata-kata perbandingan yang ditemui dalam simile seperti laksana, bak, bagai, macam, ibarat, umpama, se…, dan seperti. Metafora juga mengemukakan perbandingan antara unsur yang konkrit dengan abstrak, seperti cinta (abstrak) yang digandingkan dengan ombak (konkrit);  kemarahan (abstrak) dengan api (konkrit); dan kehidupan (abstrak) dengan laut (konkrit).

Sistem konseptual, iaitu cara berfikir dan bertindak berasaskan metafora secara semula jadi. Metafora ialah sebahagian daripada sistem pemikiran dan tindakan manusia. Manusia berfikir dengan melihat kemiripan satu pengalaman dengan sesuatu yang lain dan dijelaskan melalui ungkapan yang bermetafora (Lakoff, 1990). Pengguna bahasa mencipta metafora bersumberkan alam, pengalaman dan persekitaran bertujuan untuk mewakilkan hasrat hati mereka. Oleh itu,  metafora dirumuskan sebagai pemetaan konsepsi bersandarkan pandangannya terhadap dunia sekeliling secara berhemah dan berkesan sehingga mampu menyerlahkan mesej ujaran.

Asmah Haji Omar (2008) menyatakan bahawa metafora digunakan sepanjang masa dalam bahasa sehari-hari tanpa kita menyedarinya. Penciptaan metafora hasil daripada proses manusia menaakul dan mengamati dunia sekelilingnya. Oleh itu, metafora terbit daripada keupayaan pemikiran manusia mentafsir alamnya. Dalam perspektif ini, Hassan Ahmad ( 2003)  turut merumuskan tiga proses penting dalam pembentukan pemikiran Melayu melalui metafora:

(a) metafora dan hasilnya pemikiran Melayu, terbentuk melalui proses pengalaman, akliah, dan renungan, dan intuisi atau ‘rasa hati’ sekaligus;

(b) metafora Melayu dibentuk oleh manusia Melayu yang bijak dan pantas fikirannya;

(c) metafora Melayu menghasilkan suatu sistem pandangan hidup bersama bangsa Melayu atau sistem  rangkaian  sosial  pemikiran  Melayu  melalui  evolusi  sosial.

Hassan Ahmad (2003 ) menegaskan bahawa pemikiran Melayu tidak membuat kesimpulan berdasarkan andaian yang tidak benar. Hal ini demikian kerana pemikiran Melayu berdasarkan dua kaedah asas, iaitu menguji ‘konsep’ atau pemikirannya melalui pengalaman sebelum konsep itu dapat diterima kebenarannya dan berdasarkan ‘kepercayaan’ yang merentas keterbatasan alam fizik untuk memikirkan hal-hal yang ghaib, sesuai dengan firman Allah dalam kitab Al-Quran, dengan  menggunakan  kaedah  atau  hujah  tamsil  ibarat.

Metafora Bunga dalam Pantun

Bunga banyak digunakan dalam pantun Melayu. Keistimewaan alam Melayu yang penuh dengan kepelbagaian bunga menyebabkan para pemantun senang menggunakan imej bunga dalam pantun. Penggunaan pantun bukan sekadar merujuk kepada gadis namun dapat digolongkan dalam pelbagai kategori. Misalnya :

Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka;
Adat dijaga pusaka dijunjung,
Baru terpelihara adat pusaka.

Imej bunga tanjung dan bunga cempaka dijadikan sebagai metafora dalam pantun adat, iaitu menyuruh setiap anak-anak menjaga adat dan memelihara adat. Penggunaan metafora bunga tersebut menunjukkan bahawa sifat bunga tanjung dan cempaka sesuai bagi maksud kepentingan memelihara adat.

Menanam bunga di dalam pasu,
Bunga melati dan bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
Kelak nanti binasa badan.

Pantun di atas menggunakan metafora bunga melati dan bunga pandan dalam pembayang. Bunga pandan  berfungsi  sebagai lambang  jati diri. Metafora bunga yang berupa objek konkrit digunakan bagi idea yang abstrak, tetapi antara kedua-duanya mempunyai hubung kait dan persamaan. Bunga Melati yang biasanya dikaitkan dengan bunga leluhur, begitu juga bunga pandan yang biasanya dikaitkan dengan tumbuhan meliar merupakan kiasan fitrah manusia  yang  memiliki  hawa  nafsu  agar mengawalnya  dengan baik. Penggunaan metafora bunga dalam pantun menunjukkan si pemantun  mengaitkan sesuatu yang luar daripada maksud sebenarnya.

Bunga mawar banyak berduri,
Disunting gadis muda belia;
Jangan dikejar gunung berlari,
Hilang kabus nampaklah dia.

Pantun tersebut menunjukkan penggunaan metafora bunga mawar yang cantik namun berduri. Sifat bunga mawar berwarna merah dan menarik minat para gadis untuk memilikinya. Bunga mawar hendaklah dipetik dengan berhati-hati kerana batangnya penuh dengan duri kecil. Metafora bunga mawar dalam pantun ini bermaksud jangan terlalu gopoh mengambil sesuatu yang indah pada kasat mata kerana ada bahaya yang mengawalnya.

Pantun ini menggunakan metafora bunga mawar namun tidak merujuk kepada mana-mana wanita mahupun gadis. Penggunaan metafora bunga mawar ini lebih merujuk kepada sifat alam, iaitu tidak akan berubah. Walaupun bunga mawar cantik dan berbau harum, namun fizikalnya masih berduri. Sementara itu, dalam bait maksud, imej gunung membawa nuansa ketetapan letak duduk dan tidak akan lari atau berubah namun digunakan personifikasi “berlari” sebagai perumpamaan semata-mata. Maksud yang mahu dibawa ialah dalam kehidupan, manusia jangan terlalu mengejar sesuatu; jika tiba saatnya yang kejar itu akan dimiliki juga jika sudah demikian takdirnya.            

Pantun yang terkumpul dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata (Harun Mat Piah, 2001) menggunakan berbagai jenis bunga sebagai imej alam yang berfungsi sebagai metafora. Senarai bunga tersebut dapat dilihat dalam jadual yang berikut:

Bunga Tanjung
Bunga Cempaka
Bunga Rampai
Bunga Angsoka
Bunga Sena
Bunga Lada
Bunga Leban
Bunga Dedap
Bunga Labu
Bunga Melur
Bunga Tanjung
Bunga Melati
Bunga Delima
Bunga Angsana
Bunga Cina
Bunga  Cempaka
Bunga Sulasih
Bunga Sena
Bunga Anggerik
Bunga Kenanga
Bunga Berembang
Bunga Mawar
Bunga Raya
Bunga Telepok
Bunga Kiambang
Bunga Betik
Bunga Pauh
Bunga Delima
Bunga Dedap
Bunga Kemuning
Bunga Cempaka
Bunga Kembang
Bunga Lada
Bunga Mawar
Bunga Rampai
Bunga Melur
Bunga Nanas
Bunga Rampai
Bunga Selasih
Bunga Raya
Bunga Angsana
Bunga Wilada
Bunga Ros
Bunga Melati
Bunga Sena
Bunga Temu
Bunga Nerejas
Bunga Sepulih
Bunga Keramunting
Bunga Berembang
Bunga Cina
Bunga Papaya
Bunga Senduduk
Bunga Batu
Bunga Capa
Bunga Kemuning
Bunga Kenanga
Bunga Pandan
Bunga Purut
Bunga Kencana
Bunga Selan
Bunga Kemboja
Bunga Inai
Bunga Selimpat
Bunga Rencani
Bunga Kayangan
Bunga Keranji
Bunga Durian
Bunga Andani
Bunga Teratai
Bunga  Lepang
Bunga Kiambang
Bunga Lalang
Bunga Bakawali
Bunga Pala
Bunga Lada
Bunga Teratai
Bunga Irian
Bunga Tanjung
Bunga Anggerik

Imej bunga yang pelbagai itu telah dihidupkan sebagai kiasan dalam bentuk metafora. Bunga yang disisipkan dalam pantun membawa makna dan nuansa yang sejajar dengan maksud mesej sebenar pantun. Pelbagai fungsi telah diberikan kepada metafora bunga tersebut, tetapi penelitian ini hanya melihat sebahagian fungsi sahaja.

Metafora Bunga Bagi Nama Orang

Penggunaan metafora bunga menggambarkan perwatakan yang mengheret sama nuansa sifatnya terlihat dalam pantun berikut:

Cik Langsuir menikam pari,
Pari ditikam tombak senangin;
Bukan saya sengaja ke mari,
Dihantar ombak ditumpu angin.

Langsuir merupakan sejenis tumbuhan (pakis), atau nama saintifiknya ialah Cyclophorus. Pokok langsuir sering kali dikaitkan dengan hantu perempuan yang berambut panjang dan bertenggek di pokok. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), langsuir juga dikaitkan dengan hantu perempuan yang berlubang belakangnya (suka mengganggu orang me­ngandung dan biasanya mengilai), ataupun dipanggil puntianak. Langsuir seringkali berterbangan apabila hendak ke mana-mana. Makna tersirat dalam pantun tersebut adalah seperti langsuir yang datang tidak diundang dan pergi tidak dihantar; begitulah juga si pemantun, bukan  hasrat  hatinya untuk datang. Oleh itu, terpadulah imej bunga langsuir dengan siratan maknanya sebagai makhluk yang datang tidak diundang dengan bait maksud yang mengusung makna yang serupa.

Perhatikan pula pantun yang berikut, yang turut menggandingkan nama bunga dengan nama watak apabila diberi panggilan “cik” (Cik Ros).

Cik Ros pergi pekan,
Hendak membeli ubi keladi;
Bukan kurus kerana tak makan,
Kurus kerana merindu hati.

Pantun tersebut  menunjukkan penggunaan metafora bunga ros dalam pembayang. Cik Ros dikaitkan dengan bunga ros dengan cirinya yang berwarna merah, namun batangnya panjang dan kurus. Kuplet maksud dalam pantun tersebut ialah metafora bunga ros. Dalam baris ketiga dan keempat, dinyatakan bahawa bukan disebabkan tidak makan, namun kerana perasaan merindu yang mekar di jiwa yang dikiaskan seperti  bunga ros yang  juga  mekar  merah  si pelaku tidak  berselera  untuk  makan. Batang bunga ros yang kurus pada realitinya secara tersirat mencerminkan tubuh kurus orang yang dikatakan sedang merindu.

Pantun Berdasarkan Tema Perasaan

Tema perasaan merujuk kepada luahan hati seseorang yang disampaikan dalam bentuk pantun. Menurut Hassan Ahmad (2016), manusia sering mengalami proses mental, merasakan sesuatu yang datangnya dari hati tidak dari otak. Hal ini dikatakan sebagai sifat atau fitrah manusia, iaitu dapat merasakan sesuatu melalui perasaan atau rasa hatinya. Pemantun Melayu dapat mencurah fikirannya, isi hatinya dan imaginasinya dalam bentuk berangkap, beritma atau berirama, tidak dalam bentuk tulisan tetapi melalui bahasa lisan yang dicetuskan secara spontan. Pemikiran ini diterjemahkan oleh orang Melayu melalui kreativiti kognitif dan kreativiti bahasa yang dibuat seolah-olah secara serentak atau spontan, dan hal ini digambarkan melalui gabungan rapi atau gabungan ikatan struktur yang rapi antara rangkap “pembayang maksud” yang mewakili akal renungan imaginatif atau kreatif otak sebelah kanan. Menurut Hassan Ahmad (2016) lagi, pemikiran ini bersifat sintesis dan dapat dikaitkan dengan konsep gestalt dalam bidang psikologi. Secara  umumnya, pemikiran gestalt ialah pemikiran yang melihat suatu realiti pada keseluruhannya  melalui  gabungan  akal  sebelah  kiri  dan  akal  sebelah  kanan.

Tema Kasih Sayang

Perasaan yang muncul dalam bayangan meliputi beberapa kelompok perasaan, iaitu kasih sayang, saling mencintai, belas kasihan, perasaan benci, rindu dizahirkan dalam kuplet-kuplet pantun  seperti  dibawah:

Bunga tanjung kembang semalam,
Pohon tinggi tidak berduri;
Gelombang besar di laut dalam,
Kerana tuan saya kemari.

Bait Bunga tanjung kembang semalam, memanipulasikan citra bunga tanjung yang kembang ibarat persahabatan yang tulus tanpa batasan masa. Sementara itu, bait Pohon tinggi tidak berduri membawa maksud nilai persahabatan yang unggul dalam kehidupan manusia. Ketinggian pohon bunga tanjung mencerminkan ketinggian nilai persahabatan secara asosiatif.

Pada baris ketiga, bait Gelombang besar di laut dalam merujuk kepada keadaan gelombang mewakili cabaran mengekalkan tali persahabatan. Persahabatan memerlukan kesabaran dan memastikan hubungan  yang sentiasa bersama ketika susah dan senang. Pada rangkap akhir, iaitu frasa Kerana tuan saya ke mari jelas merumuskan bahawa walau apa pun rintangan dalam hubungan persahabatan, hal keakraban masih utuh dan menjelmakan sifat seorang rakan yang berhati  murni  serta  luhur  membantu. Kaitannya dengan pembayang tercermin pada maksud ketinggian pohon bunga tanjung tidak menghalang seseorang menikmati haruman dan kecantikannya, apatah lagi kerana tiada duri pada batangnya.

Tema Kesetiaan

Dalam pantun yang berikut, metafora bunga kenanga menjelmakan perasaan yang mendalam dan  keluhuran  sifat  kasih sejati :

Berbunga lalang tiada berdahan,
Bunga kenanga diramas lumat,
Kasih sayang menjadi igauan,
Senyum tangisnya seribu rahmat.

Imej bunga lalang tiada berdahan merupakan metafora berkaitan perasaan yang tidak berbelah bahagi walau apa jua keadaan.  Ini samalah dengan keutuhan bunga lalang menunjukkan kewujudannya walaupun lalang itu tidak berdahan. Bunga kenanga pula mewujudkan nilai bandingan terhadap bunga lalang,  iaitu nilai setia sebagai mewakili kedalaman perasaan sesorang kepada kekasih hatinya. Wangian bunga kenanga juga tersirat sebagai mewakili kesucian hati dan  perasaan ikhlas yang terbit daripada hasrat nurani hati pemantun dalam melahirkan perasaan kasih kepada seseorang. Bait Bunga kenanga diramas lumat membawa erti ketelusan hati seseorang.

Seterusnya, bait Kasih sayang menjadi igauan membawa maksud perasaan sayang yang tidak boleh diragui; manakala bait Senyum tangisnya seribu rahmat, membawa erti perasaan setia yang mendalam sehingga kesedihan dan kegembiraan seseorang kepadanya sebagai rahmat untuk dikongsi bersama. Ini seganding dengan makna pembayang, bunga kenanga yang indah itu diramas lumat tetapi masih mengekalkan harumannya.

Pantun ini jelas memaparkan kedalaman rasa setia kepada seseorang yang akhirnya membawa kebahagiaan hidup bersama.  Kepersisan pemikiran pemantun cukup puitis sehingga dapat menyampaikan mesej perasaan yang kritis dan mendalam kepada  pembaca. 

Bunga kenanga di atas kubur,
Sayang selasih burung angkasa;
Apa guna sombong takbur,
Akhirnya badan rosak binasa.

Bunga kenanga berwarna kuning atau putih dikenali sebagai bunga yang sangat wangi. Pada zaman dahulu orang tua-tua menggunakan bunga kenanga sebagai wangian. Mereka akan memetik bunga ini dan menyimpannya di dalam pakaian agar pakaian tersebut wangi. Namun, metafora bunga kenanga dalam pantun tersebut menyimpang daripada fungsi yang lazim apabila bunga kenanga ditabur di atas kubur. Walaupun berbau harum, namun  jika kenanga ditabur di atas kubur apalah guna lagi keharumannya, sekadar mewangikan kubur dan bukan untuk dijadikan benda yang bernilai lagi. Maksud sebenar pemantun, tiada guna bersikap sombong kerana akhirnya diri sendiri juga yang akan binasa.

Tema Cinta

Pantun yang baik didasari kuplet pembayang dan maksud yang mengungkapkan perasaan melalui lambang atau simbol yang konkrit seperti bunga bagi menyampaikan maksud pantun dengan lebih indah dan sedap didengar. Peringkat perasaan juga mempunyai banyak jaluran atau jenis seperti perasaan kasih, benci dan perasaan cinta. Metafora bunga lazimnya dijelmakan bagi mewakili perasaan cinta  seperti  pantun  berikut:

Kembang daunnya pokok sepulih,
Cantiknya macam bunga cina;
Kasih sayang disebut boleh,
Cinta di hati sampai ke mana?

Maksud yang ingin disampaikan ialah kesucian hati dalam hubungan percintaan; dan bunga cina yang berwarna putih dan wangi diertikan sebagai cinta yang suci. Bait Kembang daunnya pokok sepulih mewakili perasaan cinta yang mendalam. Bait Kasih sayang disebut boleh dan Cinta di hati sampai ke mana diertikan sebagai kasih sayang yang tidak ada nilainya. Dalam konteks ini, pemantun menggunakan metafora bunga cina bagi menyampaikan mesejnya tentang keluhuran perasaan seseorang  dalam  hubungan  cinta, tetapi setakat mana cinta itu akan pergi? Tampaklah bandingannya dengan bait pembayang bahawa daun sepulih itu tidak dapat berdiri sendiri tetappi perlu diumpamakan dengan bunga cina. Maksud cinta itu juga tidak dapat tentukan sedalam mana.

Metafora bunga juga memberi imaginasi rasa cinta yang membuak-buak sehingga membibitkan perasaan rindu buat kekasihnya. Hal ini  tertera  dalam  pantun  yang  berikut:

Kalau ada si bunga rampai,
Bunga Melati di atas kertas;
Saya menunggu sudahlah sampai,
Si jantung hati belum terlepas.

Berdasarkan pantun tersebut, frasa Kalau ada si bunga rampai dapat mewakili maksud situasi menyambut seseorang yang terlalu istimewa. Bunga rampai dalam masyarakat Melayu merupakan racikan pelbagai bunga yang digunakan sebagai bahan haruman untuk menyambut tetamu dan dijadikan sebagai majlis tepung tawar untuk pengantin yang baru naik pelamin.

Bunga Melati di atas kertas, membawa erti perhiasan tetapi belum dicampur dengan bunga rampai. Lazimnya,  masyarakat dahulu  meletakkan bunga sebagai jambangan rambut ataupun perhiasan rumah. Baunya yang harum memberikan aura kesegaran kepada si pemakai.  Dalam konteks ini, hubung kait perhiasan dan meraikan seseorang jelas dijelmakan bagi menunjukkan persediaan yang dilakukan bagi menyambut kedatangan seseorang yang istimewa.

Bait Saya menunggu sudahlah sampai jelas menggambarkan hajat seseorang yang menunggu seseorang yang dikasihinya, dan bait Si jantung hati belum terlepas mewakili perasaan seseorang yang gembira kerana kekasihnya yang masih setia menantinya. Nukilan pantun ini jelas memperlihatkan harapan untuk hidup bersama antara dua orang yang berkasihan, masuk ke dalam keluarga besar, seperti bunga melati yang menunggu untuk digaulkan dalam mangkuk bunga rampai.

Di samping itu, penggunaan metafora bunga dalam pantun bukan hanya dipilih berdasarkan keunikan warna dan ciri bunga tersebut, namun kelebihan yang terdapat pada bunga itu juga dipandang tinggi oleh pencipta. Hal ini jelas menerusi penggunaan  bunga  kemuning  dalam  pantun  berikut:

Buah redan dipakai jati,
Bunga kemuning di dalam puan;
Bertambah rodan rasanya hati,
Putih kuning pulanglah tuan.

Dalam konteks pantun ini, bait Buah  redan dipakai jati merujuk kepada buah rotan daripada pokok rotan yang tumbuh di hutan yang tetap dimanfaatkan oleh masyarakat. Bait Bunga kemuning di dalam puan sebagai perlambangan bunga yang liar tetapi tetap dikutip dan dimanfaatkan oleh masyarakat. Penggunaan kedua-dua bunga ini menjelmakan nilai penerimaan seseorang terhadap orang yang dikasihinya tanpa mengira status. Seseorang yang dikasihi tetap akan dicari dan dimiliki walau apa jua keadaannya.  Bait Bertambah rodan rasanya hati merujuk kepada hati yang sakit (rodan), dan frasa Putih kuning pulang tuan merujuk kepada situasi menunggu yang terlalu lama untuk menantikan seseorang yang dicintai. Jika diamati secara keseluruhannya, baik-bait pantun ini bukanlah dicipta dengan wewenang, tetapi perkaitan yang  digarapi  daripada  intipati  tersiratnya  benar-benar  bermakna  dan  bernilai.

Pantun  Berdasarkan  Tema  Keunggulan

Keunggulan bermaksud kelebihan daripada yang lain. Nilai pantun diukur daripada beberapa aspek seperti mesej yang disampaikan, nilai seninya, nilai ilmunya dan nilai kepengarangan pengkaryanya. Pantun diibaratkan sebagai warisan turun-temurun yang memaparkan kalbu (hati) masyarakat Melayu. Maka, pantun ibarat naskhah atau nukilan yang sempurna sebagai mewakili identiti Melayu yang unggul.

Berdasarkan analisis, terdapat tiga tema keunggulan yang berjaya ditemui, iaitu tema keunggulan sanjungan dan ketinggian darjat, keunggulan mengikut hukum/agama dan,  keunggulan  keperibadian.

  1. Keunggulan  sanjungan dan ketinggian darjat

Dalam sistem pemikiran orang Melayu, kaedah analogi sering digunakan untuk membentuk konsep yang abstrak dengan menggunakan kata benda, termasuklah yang diambil daripada flora dan fauna atau alam tabii sebagai bahan analogi. Hassan Ahmad (2016) menyatakan bahawa dalam teks-teks Melayu klasik seperti hikayat, pengarang  menggunakan analogi untuk menyampaikan maksud atau konsep dalam prinsip  yang  abstrak.  Misalnya, Bendahara Paduka Raja pada saat akhir hayatnya telah memberi pesan:

…dan jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaiktian; kerana pada segala hukum, bahawa raja-raja yang adil itu dengan nabi salla `llahu ‘alaihi wa salam, umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu ‘llah fil’alam.
(A. Samad Ahmad [peny.], 2010: 190)

Dalam konteks ini, Hassan Ahmad (2016) menjelaskan konsep pemuafakatan  antara raja dengan para pegawainya melalui analogi “kerjasama” antara “api” dengan “kayu”. Api disifatkan sebagai kuasa membakar secara natural dan kayu disifatkan sebagai bahan untuk menyalurkan api. Ikatan kedua-dua unsur ini merumuskan bahawa raja tidak berupaya memerintah negeri seorang diri tanpa sokongan pegawai.            

Interpretasi metafora keunggulan pantun dalam kajian ini digarap menerusi darjat yang diterjemahkan menerusi leksikal berbentuk penghormatan dan sanjungan. Perihal  keunggulan  ini  dapat  diamati  melalui  bait-bait  pantun  ini:

Bunga tanjung atas kota,
Kedua dengan bunga melati;
Tuan payung intan mahkota,
Alangkah suka di dalam hati.

Pantun tersebut mewakili makna penghormatan kepada seseorang yang berkedudukan tinggi dan memiliki darjat. Keadaan ini akan terjelma jika masyarakat Melayu mengutamakan nilai budi serta keluhuran hati. Bait Tuan payung intan mahkota menjadi sokongan leksikal dalam usaha memahami maksud pantun ini dan analogi bunga tanjung. Bunga tanjung sering dianggap sebagai sinonim dengan identiti bangsa (bangsa yang beradab) dan adat istiadat kerana pohonnya yang tinggi. Ini sejajar dengan makna dalaman, bahawa identiti Melayu adalah luhur dan memiliki nilai  budi yang tinggi.

Oleh sebab itu, bunga tanjung sering  dipakai sebagai perhiasan rambut puteri-puteri raja dan pengantin. Keadaan ini melambangkan seseorang wanita yang dihormati dan berkeperibadian tinggi.  Haruman bunga tanjung dianggap sebagai keunggulan darjat seseorang yang perlu dimuliakan dan dihargai dalam kehidupannya.

Gandingan bunga melati dalam pantun tersebut bersesuaian dengan mesej keluhuran dan keperibadian seseorang kerana bunga melati melambangkan kesucian. Warna putihnya sedia memancarkan lambang kesucian. Imej putih merupakan sarana budaya untuk memaknakan kesucian dan kebenaran. Malahan nilai sakralnya itu juga terpancar pada  fungsinya sebagai  bahan untuk taburan di kuburan. Pemanfaatan bunga tanjung dan bunga melati diadun dengan begitu cermat bagi menggambarkan nilai  bunga yang bersifat keunggulan sanjungan dan  ketinggian  darjat.

Keunggulan mengikut agama

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, pantun merupakan medium utama  untuk seseorang itu memberi nasihat  dan berdakwah. Menurut Hassan Ahmad (2016), metafora yang menghubungkan pemikiran Melayu dengan konsep alam fizik bagi memahami hakikat wujud, seperti wujud alam, wujud al-Khalik dan wujud makhluk disampaikan secara metafora fizik ataupun disebut metafora ontologi. Metafora ontologi ialah metafora yang lebih tinggi pemeringkatan semantiknya dalam ciri-ciri umum pemikiran Melayu. Pemikir Melayu akan cuba mengatasi masalah keterbatasan bahasa leksikal atau bahasa harfiah dan pemikiran harfiah dengan menggunakan kaedah berfikir secara simbolik atau melalui kaedah tafsir untuk memahami kalam Allah dan untuk menjelaskan konsep-konsep metafizik di luar pengalaman manusia. Misalnya, kaedah pemikiran simbolik Hamzah Fansuri yang menggunakan banyak kaedah tamsil ibarat untuk menjelaskan konsep “wahdah-al wujud” melalui perumpamaan biji dan benih pohon seumpama al-Khalik atau Tuhan manakala pohon seumpama makhluk atau manusia.

Pantun juga bertindak sebagai sumber ibadah yang memerihalkan hukum dan amalan nabi dan rasul yang perlu dihayati dan diamalkan. Antara bentuk hukum termasuklah hal yang bersangkutan dengan amalan fardu ain seperti solat, pengurusan jenazah, kebersihan dan kesucian, puasa, perkahwinan, dan sebagainya. Seterusnya, fardu kifayah merujuk kepada hal yang memberikan keharmonian dalam masyarakat seperti  menuntut  ilmu, kesihatan  dan keamanan.

Dalam konteks masyarakat Melayu, nilai agama dan rohaniah menjadi inti penting dalam mendidik masyarakat. Misalnya, dalam konteks perkahwinan, fardu ain bagi seseorang itu ialah mematuhi rukun nikah separti melafaz akad dengan tepat. Apabila selesai majlis akad, bermakna termeterailah ikatan perkahwinan yang sah, dan biasanya, masyarakat akan meraikan pasangan dengan tepung tawar dan kenduri-kendara. Hal ini termasuk dalam perkara fardu kifayah untuk menjelaskan ikatan hubungan ini kepada tetamu untuk mengelakkan fitnah. Konsep hukum  ini  dapat diamati  menerusi  pantun  di bawah:

Kalau tuan pergi ke Mekah,
Saya berkirim ketam bertelur;
Kalau tuan membaca nikah,
Saya menabur si bunga melur.

Pantun tersebut menyisipkan hal fardu ain dan fardu kifayah seperti dalam bait Kalau tuan membaca nikah dan Saya menabur si bunga melur. Dalam konteks ini, bunga melur menjadi lambang yang sungguh istimewa bagi menggambarkan kesediaan seseorang untuk mengahwini pasangannya. Majlis perkahwinan adalah paling bermakna dalam kehidupan seseorang dan perlu diraikan dengan penghormatan yang tulus dan suci. Perkahwinan ialah ibadah dan perlu diraikan dengan ketulusan cinta juga seperti yang dilambangkan bunga melur yang cantik.

Keunggulan Keperibadian

Keunggulan keperibadian terbit daripada unsur rohaniah (hati) yang baik dan terbina dalam diri seseorang. Menurut Hassan Ahmad (2016), bahasa ialah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa dengan melihat hubungan bahasa yang digunakan dalam konteks organisasi sosial tertentu. Hubungan ini dapat diterjemahkan menerusi pemikiran orang Melayu yang menggunakan bahasa ini secara kreatif dalam menghubungkaitkan hal-hal sosial. Misalnya, manusia tidak dapat menyampaikan gambaran tentang pelbagai perasaan marah, sedih atau kasih melalui bahasa yang biasa tetapi melakukan semacam ujikaji berfikir, “thought experiment”, untuk melihat perasaan marah manusia dengan membentuk metafora marah seperti panas api.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa keunggulan keperibadian yang dimaksudkan dalam kajian pantun ini merujuk kepada pemikiran atau struktur kognitif  Melayu mengungkapkan hal perasaan bagi mewakili sifat-sifat peribadi. Hal ini dapat  diperjelas  menerusi  bait-bait  pantun  berikut:

Bunga melur mekar setangkai,
Sungguh wangi bunga melati;
Biar buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Metafora bunga melur adalah ibarat budi yang disumbangkan walaupun dalam jumlah yang sedikit menerusi bait Bunga melur mekar setangkai, pasti akan mengeluarkan bau harum. Bait Sungguh wangi bunga melati menjadi gambaran kesucian diri yang abstrak sejajar dengan abstraksi keharuman bunga melati. Ini seterusnya berjerait dengan identiti bangsa yang juga diharapkan sesuci bunga melati.

Bait Biar buruk kain dipakai membawa maksud peribadi yang merendah diri, manakala bait Asal pandai mengambil hati membawa maksud seseorang yang beradab dan menampakkan kebaikan peribadi. Dalam pantun ini, metafora bunga melur dikias bagi menggambarkan  keperibadian bangsa itu sendiri yang putih dan harum.

Pantun Berdasarkan Tema Warisan

Ungku Aziz (2011) menyatakan, antara ciri kebijaksanaan Melayu berbicara ialah keupayaan mencungkil maklumat yang hendak disampaikan. Hal ini disokong oleh Nor Hashimah Jalaluddin (2014) bahawa semua adab bertutur Melayu menggunakan kaedah tersirat. Bahasa yang tersirat terakam dalam pantun, peribahasa dan gurindam yang dianggap sebagai ketinggalan zaman oleh sesetengah orang. Tenas Effendi (2008) menyatakan bahawa orang Melayu bijak, beradab, bertuah dan berakal yang dapat dijelmakan  menerusi  fikiran kognitif  mereka  dalam  bahasa.

 Menurut Maxwell (1878) Wilkinson dan Winstedt mengetengahkan peribahasa dan pantun demi memahami pemikiran Melayu. Hal ini disokong oleh Nor Hashimah Jalaluddin (2014) bahawa banyak pengajaran boleh dicungkil di sebalik peribahasa dan pantun setelah kita berjaya memahami yang terselindungi di sebalik susunan kata yang indah ini. Berdasarkan pantun yang menggunakan metafora bunga, terdapat beberapa aspek warisan yang boleh dihayati, iaitu warisan kesenian, majlis  rasmi, dan  adat-istiadat.

Kesenian

Menurut Haryati Shaffi (2010), kebudayaan atau seni budaya Melayu pada asasnya mempunyai dua perkara penting, iaitu elemen teras sebagai tiang seni jati diri bangsa Melayu dan elemen luaran yang terpancar melalui pertuturan, tingkah laku, budaya benda seperti kraf dan seni bina, kesusasteraan serta seni persembahan atau seumpamanya. Kesenian pantun merujuk organisasi susunan pantun dan lenggok iramanya. Hal ini dapat diamati menerusi pantun yang dapat dinilai, didengari, dirasai melalui bait-bait dalam pembayang dan maksud pantun. Hal ini dapat diperlihatkan menerusi pantun berikut:

Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka;
Adat dijaga pusaka dijunjung,
Baru terpelihara adat pusaka.

Dalam pantun tersebut, metafora bunga tanjung digabungkan bersama bunga cempaka. Bunga tanjung yang berada di pohon tinggi menunjukkan kesenian itu berada pada ketinggian darjatnya dalam peribadi bangsa. Bunga tanjung baunya sangat kuat, dan apabila digandingkan bersama bunga cempaka kesan maknawinya sangat mendalam bagi memartabatkan adat pusaka yang dinyatakan pada bait maksud. Imej bunga tanjung yang harum baunya dan berada di pohon yang tinggi serta berpohon rimbun berganding dengan bunga cempaka yang juga harum dapat diasosiasikan dengan nilai yang terdapat pada adat pusaka.

Pantun yang berikut menggunakan imej bunga angsana:

Limau purut bunga angsana,
Menghias pengantin nampak berseri;
Hati terpaut pinang diterima,
Sayang cincin sendat di jari.

Pantun di atas menggambarkan pengantin perempuan yang memakai busana pengantinnya dengan imej limau purut dan bunga angsana. Dalam pantun ini wujud unsur paradoks apabila kesediaan pengantin menerima lamaran tergalang apabila cincin yang diterimanya sendat di jari yang menunjukkan ketidaksempurnaan persediaan, sama ada cincin tidak diukur denan betul atau pengantin perempuan bertambah berat badan. Bagaimanapun, ini boleh dianggap sebagai unsur kecindan kerana pantun Melayu sangat banyak unsur kecindannnya.

Dari sudut metafora, imej limau purut dan bunga angsana merupakan frasa gandingan tumbuhan yang baik untuk menunjukkan kiasan beradab dan menjaga kebersihan tingkah laku. Dalam masyarakat Melayu, limau purut digunakan untuk membersihkan hanyir ikan, mencuci kuku dan mencantikkan kulit wajah. Ini bermakna, pengantin perempuan juga sudah sempurna dari segi kebersihannya.

Imej bunga angsana pula jelas membawa makna seseorang wanita yang perlu menjaga adab dan kecantikan harga dirinya.  Bunga angsana menjadi motif pada tudung atau selendang perempuan penghulu istana, dan oleh itu, peemakaiannya dapat menjadi daya penarik pengantin. Selain unsur penyeri adat, bunga angsana merupakan simbolik warisan beradat dan fungsinya sangat signifikan dalam  majlis penuh adat.

Majlis Rasmi

Menurut Abdullah Hassan et al. (2014), pantun membawa kuasa dan autoriti yang tidak dapat dicabar kebenarannya dan lazimnya digunakan dalam acara-acara rasmi. Hal ini demikian kerana pantun memiliki mesej halus yang disenangi gayanya. Keindahan pembayang dan maksud dalam pantun banyak diserikan dengan metafora bunga bagi menghidupkan majlis-majlis rasmi seperti simposium, seminar, persidangan, majlis kenduri kendara, majlis yang melibatkan amalan memperkaya budaya Melayu. Menurut Harun Mat Piah (2001), ucapan biasanya disampaikan dalam bentuk puitis. Metafora bunga begitu sinonim dalam ucapan seperti contoh  bunga  dedap  dalam pantun  di bawah:

Buah betik bunga dedap,
Luruh sehelai dimakan kuda;
Patik yang hina sedia mengadap,
Membawa titah paduka kakanda.

Pantun ini menggunakan metafora bunga dedap yang tidak berbau atau tidak bernilai bagi diasosiasikan dengan taraf yang “hina” sebagai tanda merendah diri. Imej bunga dedap menjadi pengganding kerendahan taraf manusia. Ternyata imej bunga dedap bertepatan dengan maksud dalam yang hendak disampaikan dalam pantun pengisi majlis rasmi yang dihadiri oleh pembesar atau raja. Adat Melayu yang terbentuk oleh waadat yang termeterai antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba dalam Sejarah Melayu atau Sulalat as-Salatin. Dalam perjanjian yang sakral itu dibuat kontrak sosial antara rakyat (Dengan Lebar Daun) dengan raja (Sang Sapurba) bahawa kedaulatan raja perlu dipelihara.

Maka sembah Demang Lebar Daun. `Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.’

Maka titah Sang Sapurba, `Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.’

Maka sembah Demang Lebar Daun, `Janji yang mana itu, Tuanku?’

Maka titah Sang Sapurba, `Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba  jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat sekalipun.’

Maka sembah Demang Lebar Daun, `Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.’

                                                                        (W.G. Shellabear, 1984: 19-20)

Perjanjian itu sudah menjadi trait budaya masyarakat Melayu yang bernaung di bawah kedaulatan rajanya. Beberapa peraturan kemudiannya dibuat untuk menjadi panduan rakyat apabila berhadapan dengan raja. Rakyat sentiasa merendahkan dirinya di hadapan raja lalu sentiasa membandingkan diri mereka sebagai imej-imej yang bernuansa kerendahana darjat seperti bunga dedap.

Istiadat

Tenas Effendy (2007) menyatakan bahawa nilai santun dan jati diri orang Melayu banyak terdapat dalam ungkapan yang digunakan dalam masyarakat Melayu sebagai pedoman dalam kehidupan seperti syair, gurindam, seloka, pantun yang sering digunakan dalam upacara pernikahan, musyawarah dan permuafakatan. Hal ini bermakna pantun juga diguna bagi menggambarkan istiadat perkahwinan Melayu sangat unik dan penuh nilai budaya. Genre pantun dideklamasikan sebagai memeriahkan majlis dan bagi menghilangkan darah gemuruh bakal pengantin sewaktu diijab kabul dan mendapat restu semua  pihak  seperti  pantun  berikut:

Kalau tuan pergi ke mekah,
Saya berkirim ketam bertelur;
Kalau tuan membaca nikah,
Saya menabur si bunga melur.

Bait Saya menabur si bunga melur melambangkan tradisi menepung tawar yang masih berkekalan sehingga hari ini. Taburan bunga melur meninggalkan haruman yang menjadi elemen untuk menyerikan  pengantin. Kadangkala masyarakat mengambil air harum-haruman (air mawar) untuk direnjis kepada pengantin bagi melambangkan kebahagiaan  (harmonis) dalam  keluarga  dan  nama  baik. Walaupun pantun yang serupa telah dibincangkan dari sudut agama, iaitu majlis pernikahan, dalam konteks istiadat, bunga melur sebagai alat untuk menyerikan majlis boleh dianggap sebagai simbol budaya.

Kesimpulan

Pantun Melayu memang terkenal dengan kekayaan imej alamnya kerana sifat unsur alam adalah lestari, tidak berubah-ubah, berbanding ciptaan moden. Apabila imej bunga digunakan, maksud yang tersirat itu akan kekal lantaran sifat flora tidak mengalami perubahan. Orang Melayu memiliki ketajaman perspektif apabila memilih imej alam sebagai pembayang maksud tersurat dalam pantun. Walaupun banyak lagi perbincangan dan analisis boleh dibuat, makalah ini hanya sempat memberikan analisis tentang fungsi bunga sebagai  metafora nama, tema perasaan, tema keunggulan dan tema warisan. Huraian yang terbatas tentang fungsi imej bunga sebagai metafora dalam pantun daripada teks terpilih ini sekurang-kurangnya dapat membuka jalan kepada penyelidikan dan penelitian lanjut dalam kesempatan lain.

Artikel SebelumKupu-kupu yang Terbang Membawa Pantun ke Eropa
Artikel BerikutBermuka Dua: Manusia atau Syaitan?

Tinggalkan Balasan