Oleh :
Norhayati Ab.Rahman (PhD)
Universiti Malaya

PENDAHULUAN

Perkataan akar pantun ialah daripada kata tun yang terdapat juga dalam bahasa Pampanga tuntun yang bererti teratur; dalam Bahasa Tagalog tonton, mengucapkan sesuatu dengan susunan yang tertentu; dalam Bahasa Jawa Kuno tuntun bererti benang, atuntun, teratur dan matuntun, bererti memimpin. Dalam Bahasa Bisaya, panton bermakna mendidik; Bahasa Toba, pantun adalah kesopanan atau kehormatan. Ringkasnya, akar kata tun dalam bahasa-bahasa Nusantara merujuk kepada sesuatu yang teratur, yang lurus, baik secara konkrit atau abstrak. Keadaan yang demikian jelas dirasakan dalam perkataan ‘pantun’ yang juga merupakan sebagai bentuk atau cara yang teratur dalam melahirkan sesuatu maksud atau fikiran (Harun Mat Piah, 1997, p105-106).

Secara khusus, Harun Mat Piah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetika dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetika pantun pula dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, berkaitan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pembayang maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.Dari aspek luaran luaran pula, pantun mempunyai bentuk dan ciri-ciri yang tersendiri; antaranya yang penting ialah sejajar dan berpasangan, semukur (symmetrical) dan ‘reciprocal’ (Muhammad Hj Salleh, 1979, p.73-74). Setiap rangkap terbina daripada dua pasangan, iaitu pembayang dan maksud. Yang termasuk dalam aspek luaran ini juga ialah struktur binaan rangkap, baris, pembayang maksud (sampiran), maksud, skema dan rima.

Dari segi isi (tema dan persoalan), pantun biasanya menyentuh tentang hampir seluruh kehidupan masyarakat Melayu. Sejarah sastera membuktikan bahawa corak kehidupan masyarakat dan pola pemikiran bangsa Melayu pada zaman dahulu, sebahagiannya dicerminkan melalui pantun. Za’ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu (1965, p.219), menyebut bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Kehidupan masyarakat Melayu tradisi yang akrab dengan alam semulajadi seperti alam tumbuhan, haiwan dan cakerawala, lantaran interaksi mereka dengan alam sekeliling seperti laut, hutan, bendang, ladang, bukit bukau, gunung ganang dan seumpamanya. Justeru, pantun seringkalidikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat. Pantun merupakan puisi Melayu yang paling popular, berdasarkan penggunaannya yang paling banyak dan meluas dalam kehidupan masyarakat. Pantun juga mendapat perhatian besar daripada pengkaji untuk tujuan penelitian, sama ada pengkaji tempatan atau pengkaji luar.

Sementara kata ‘puisi’ pula berasal daripada bahasa Yunani, iaitu poieses yang bermaksud ‘penciptaan’. Dalam bahasa Latin, kata puisi disebut poietes atau poeta. Pada awalnya kata puisi adalah poieo (paio atau poea) yang mermaksud “membangun; menyebabkan, menimbulkan, menyair”. Makna ini semakin lama semakin dikhususkan kepada makna “hasil seni sastera yang menggunakan irama, sajak, dan kata-kata kiasan.”  Dalam bahasa Inggeris puisi pula ialahpoetry, yang erat hubungannya dengan poet atau poem. Dalam bahasa Yunani, kata poet itu bermaksud “orang yang mencipta melalui imaginasinya.”Dalam kesusasteraan Melayu, makna puisi kemudian didapati berbagai-bagai dan tidak seragam sifatnya. Walau bagaimana pun, setiap definasi yang diberikan, dapat menyediakan panduan dasar kepada pembaca, untuk mereka mengenali dan menghayati serta memahami sesebuah puisi. Antara definasi puisi yang seringkali diperkatakan dan diterima  pakai ialah  takrif oleh Za’ba  yang menyebut  puisi sebagai karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan denganbahagian-bahagian yang berkerat-kerat dan antara sekeratdengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi rentaknya dan isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan tertentu(1965, p.28). Takrif ini menekankan kepada dua sifat puisi yang utama, iaitu sifat abstrak seperti kecantikan atau keindahan bahasa dan kemerduan bunyi dan sifat konkritnya yang terdiri daripada struktur dasarnya, merangkumi binaan baris dalam rangkap, suku kata dalam baris dan rima. Kedua-dua sifat tersebut mempunyai hubungan erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.Muhammad Hj.Salleh menyebut, puisi adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyairnya dan tradisinya. Dengan segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana”.Definisi ini menerangkan bahawa puisi bukan sahaja mengandungi keindahan bahasa dan kehalusan pernyataan perasaan, sebaliknya turut diimbangi oleh pernyataan pemikiran. H.B.Yassin pula menyebut “Puisi adalah pengucapan dengan perasaan yang di dalamnya mengandungi fikiran-fikiran dan tanggapan-tanggapan.”

J.E.Tatengkeng menyebut bahawa puisi ialah “Gerakan sukma/Yang berpancaran dalam mata/terus menjelmake indah kata”.Kedua-dua definisi di atas menyatakan bahawa puisi bermula dengan dorongan perasaan dan dari perasaan tersebut  membawa kepada fikiran-fikiran dan tanggapan penyair terhadap sesuatu, yang disampaikan melalui pemilihan dan penyusunan kata-kata.Samual Taylor Coleridge pula mendefinisikan puisi sebagai “the best words in their ‘best order'”(perkataan terbaik dalam susunan terbaik).Maksud kata-kata terbaik di sini ialah penggunaan kata-kata yang datang daripada hasil pemilihan secara teliti dan penuh kesedaran. Ini dilakukan bagi memastikan adanya ketepatan, keutuhan serta di dalamnya mempunyai nilai rasa dan nilai makna yang ingin disampaikan oleh penyair.

Pada umumnya, puisi moden terkeluar daripada ciri-ciri rigid sesebuah puisi Melayu tradisional, seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan sebagainya. Dari segi bentuk (luaran dan dalaman), puisi moden adalah berbentuk bebas. Dalam konteks ini, kebebasan adalah bermaksud keupayaan dan kesediaan puisi moden menerima bentuk-bentuk yang terdapat dalam puisi tradisional, mahupun kemunculan bentuk-bentuk baharu yang dicipta berdasarkan kreativiti dan sensitiviti penyair, mahupun penggabungan daripada bentuk-bentuk yang sedia ada. Walaupun wujud kebebasan dalam penciptaan puisi moden, namun ia masih terikat dengan penggunaan bahasa yang indah sebagai medium penyampaian karya sastera dan mempunyai idea atau pemikiran yang berupaya memberi manfaat kepada pembaca.

PANTUN SEBAGAI AKAR PUISI MELAYU MODEN: PERSPEKTIF PENGALAMAN MALAYSIA

Dalam membincangkan soal akar pantun, yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden, sudah tentu tidak terlepas daripada membahaskan aspek pengaruh pantun terhadap penciptaan puisi moden. Dalam konteks ini, fokus pembicaraan adalah kepada kedua-dua aspek utama, iaitu aspek estetika yang telah menjadi akar dalam penciptaan puisi Melayu moden, khususnya aspek pertama, iaitu kecenderungan penggunaan unsur alam sebagai perlambangan. Lazimnya penggunaan tersebut disesuaikan dengan makna yang disampaikan, sekali gus akan menambah nilai estetika sesebuah puisi. Za’ba memberi pendapat tentang perlambangan atau yang disebutnya sebagai bahasa kiasan yang menguatkan dan menambahkan tajamnya sesuatu karangan atau percakapan supaya menarik hati orang, jadi perhiasan mencantikkan bahasa, kerana bahasa kiasan itu banyak menggambarkan kecantikan alam dan perbandingan yang terlintas di dalamnya itu selalu cantik. Oleh sebab cantiknya itu kerap disebut akan dia bungaan bahasa” (Za’ba, 1965, p.196).

Antara penggunaan perlambangan daripada unsur alam yang paling dominan ialah laut.Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan manusia dan dengan itu turut mempengaruhi perasaan dan pemikiran pengkarya, termasuk dalam penciptaan pantun dan diikuti pula oleh penciptaan puisi Melayu moden. Simbolisme laut dalam puisi moden boleh dikesan daripada penggunaan kata ‘laut’ dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, seperti samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai, bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya. Tradisi pemikiran ini menjadi pembentuk kreativiti pujangga-pujangga Melayu termasuk pencipta pantun yang menggunakan laut sebagai simbol di dalam karya mereka.Perjalanan laut adalah perlambangan yang sangat lumrah dalam pantun, seperti yang diperlihatkan dalam contoh rangkap pantun di bawah yang menggunakan unsur laut, pulau, ombak, dan pantai;

Kalau mengail di lubuk dangkal
Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan hendak diduga
(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984, p.129)

      

Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984, p.146)

Kedua-dua rangkap pantun menyentuh tentang peri pentingnya manusiamelengkapkan diri dalam menjalani kehidupan.  Seseorang harus menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Pantun di atas memberi peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”. Frasa “kail panjang sejangkal” dapat ditafsirkan sebagai penanda kepada sesuatu kekurangan diri. Melalui frasa tersebut, maksud yang ingin disampaikan berupa nasihat supaya setiap orang mengukur keupayaan sendiri dalam membuat sesuatu pekerjaan. Maksud pantun ini juga mencabar seseorang untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan.Pesanan yang sama juga dikesan pada rangkap pantun kedua, dengan pesanan sekaligus cabaran, pada baris-baris kalimat “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.” Maksud baris-baris kalimat ini masih memperkatakan tentang kesedaran terhadap penanda kekurangan diri, dan usaha untuk menyesuaikan diri dengan kemampuan diri sendiri. Persoalan ini merupakan sebahagian daripada permasalahan kehidupan masyarakat yang diangkat dan dimanifestasikan melalui pantun. Setiap kata dan ungkapan yang digunakan tersebut, adalah perlambangan atau teknik yang sengaja menyamarkan citra dan makna, yang merupakan satu teknik penyampaian dalam sastera Melayu, yang bukan sahaja digunakan dalam pantun tetapi juga dalam naratif lainnya.

Penggunaan perlambangan daripada unsur alam yang dominan dalam pantun bagi tujuan untuk menyampaikan sesuatu idea atau pemikiranini kemudian turut meresap masuk dan menunjangi asas penciptaan puisi-puisi Melayu moden di Malaysia.Rata-rata puisi yang dihasilkan, sedaya mungkin akan memanfaatkan unsur perlambangan bagi memancing penafsiran makna oleh pembaca, sekali gus mencabar upaya penaakulan kalangan pembaca. Hal ini selaras pula dengan maksud puisi itu sendiri yang menjurus pada penggunaan kata-kata sesedikit mungkin, tetapi mengandungi makna sebanyak mungkin. Buktinya, antara lain dapat dilihat pada puisi Muhammad Haji Salleh dalam puisi berjudul “Ke Pusar”. Melalui puisi ini, unsur laut dan gelombang telah ditampilkan sebagai suatu kuasa alam, seperti yang dapat dikesan pada petikan rangkap berikut;

Ke mana pun aku pergi
Samudera bergelombang dalam kesedaranku
Atau membentangkan langitnya
Pada mata ingatan
Ke mana pun aku pergi
Kudayung kembali
Ke laut pertama
Dihanyutkan oleh debu
Dan bulan yang menunggunya
(Sebuah Unggun di Tepi Danau, 1996, p.61)

Melalui petikan rangkap puisi “Ke Pusar” di atas, penyair memperlihatkan pengaruh laut yang sangat besar terhadap dirinya, yang sering memagut-magut fikirannya. Laut adalah sesuatu yang sering mencabar akal budinya, seperti terpapar pada ungkapan “Ke mana pun aku pergi/Samudera bergelombang dalam kesedaranku”. Sebagai seorang pengembara, Muhammad telah pergi jauh mengelilingi dunia melewati samudera, namun beliau tetap tidak melupakan asal-usulnya, akarnya, sehingga “kembali kepada laut pertama” yang dianalogikan sebagai adat budaya warisan yang membentuk keperibadiannya.Contoh puisi di atas, memerlihatkan bagaimana perlambangan berunsurkan alam (akar dalam pantun) turut menjalar ke segenap rongga dalam tubuh puisi moden.

Bentuk penataran yang hampir sama juga dapat dilihat dalam puisi-puisi penyair wanita terkenal Malaysia, Siti Zaleha Hashim. Perhatikan bagaimana daripada asas perlambangan dan maksud dalam pantun yang berikut, kemudian telah menetaskan puisi moden, berjudul “Pelayaran”.

Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Kecil-kecil ditimang ibu
Sudah besar ditimang gelombang

(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984, p.163)

Pembayang pantun ini menggambarkan dua hal yang berbeza, iaitu perbezaan antara rumah kecil dan rumah besar, manakala maksudnya ialah masa kecil dan masa sudah besar. ‘Rumah kecil tiang seribu’ adalah kalimat yang mengambarkan maksud tentang kehidupan fasa awal seseorang manusia, yang sentiasa memerlukan sokongan dan asuhan ibu serta kaum keluarga (tiang seribu). Bagaimana pun setelah seseorang anak kecil bertukar menjadi dewasa, maka dia akan dilepaskan ke lautan kehidupan. Di sanalah nanti dia akan terdedah kepada pelbagai cabaran, dugaan dan tantangan seperti yang dimaksudkan dalam kalimat ‘sudah besar ditimang gelombang’ dalam pantun di atas. Penggunaan perlambangan berunsurkan alam dan gambaran maksud yang diungkapkan menerusi pantun tersebut kemudian ditemui pula dalam puisi-puisi moden, antaranya puisi berjudul “Pelayaran” berikut.

Ada tapak-tapak kecil di pasir pantai
Anak-anak manis mengejar ombak
Burung-burung camar, ikan-ikan kecil
Teman-teman yang tiada pandai meminta
Ingatkah kau lagi waktu itu.

Masa tiada pernah menunggu
Yang kecil pun tumbuh dewasa
Laut pun menjadi saksi
Sebuah keberangkatan bermula..

(Camar di Cangkir Bumi, 1999, p.73)

Puisi moden di atas memaparkan gambaran anak-anak kecil yang manis dan riang bermain di pantai, tanpa perlu memikirkan permasalahan hidup atau tanggungjawab. Perlakuan dan emosi kanak-kanak tersebut dipaparkan melalui ungkapan “Ada tapak-tapak kecil di pasir pantai/Anak-anak manis mengejar ombak”. Namun setelah meningkat dewasa, seseorang itu akan mula berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan hidup yang dapat dicerminkan melalui ungkapan “hari-hari hitam yang dilalui/detik-detik putih yang ditempuhi”. Di sinilah manusia memerlukan semangat dan kekuatan fizikal-mental untuk meneruskan pelayaran hidup dengan lancar dan berjaya sebelum tiba ke terminal terakhir. Malahan berdasarkan akar pantun yang sama di atas, telah melahirkan ribuan puisi dalam bentuk acuan yang hampir sama. Termasuk dalam kelompok ini ialah puisi berjudul “Laut” oleh Noor S.M., “Maknawi itu Kekasihku”oleh Kemala, “Apakah yang Kau Katakan Padaku, Lautan” dan “Maafkan Aku Laut”,oleh Muhammad Haji Salleh, “Kembara Jauh Mengembara” oleh Ali Ahmad, ”Belajar Dari Ombak”oleh Marsli N.O, “Aku Hanya Mahu Ke Seberang“oleh Hashim Yaakub dan ribuan puisi lagi oleh para penyair Malaysia.

Puisi-puisi sedemikian, seboleh mungkin akan berusaha memanfaatkan penggunaan perlambangan daripada unsur-unsur alam bagi menyampaikan seribu satu maksud berhubung dengan hidup dan kehidupan manusia. Simbol atau perlambangan adalah kata-kata atau ungkapan tertentu yang digunakan berupaya menyatakan sesuatu di luar makna kata-kata itu sendiri. Setiap kata perlambangan berhubung dengan sifat konotasi yang boleh dikaitkan dengan pelbagai makna. Menurut Zaaba, ini ialah kerana “dalam pemikiran sastera, sekurang-kurangnya pantun, hikayat, dan beberapa bentuk berkaitan, sesuatu yang lebih temaram (maksudnya tidak begitu terang) itu lebih misterius, dan oleh itu lebih mencabar akal fikiran khalayaknya” (Za’ba, 1965, p.14).  Dengan hal yang sedemikian, membenarkan pendapat bahawa puisi itu selepas dibaca menjadikan kita lebih bijaksana.

Aspek kedua, merujuk kepada bentuk dalaman atau struktur luaran sesebuah puisi juga memperlihatkan akar atau pengaruh yang jelas dalam puisi moden. Bagaimana pun, aspek ini tidak begitu ketara ditemui, berbanding dengan aspek pertama, memandangkan puisi Melayu moden adalah berbentuk bebas. Bagaimana pun, masih terdapat sejumlah puisi sedemikian dalam perkembangan puisi Melayu moden di Malaysia.  Antara penyair terkenal di Malaysia, yang mempamerkan kecenderungan membawakan kehalusan serta ketajaman pegucapan dengan menggunakan suasana dan rentak pantun termasuklah Usman Awang, Firdaus Abdullah, Rustam A.Sani dan Ahmad Sarju.

Usman Awang adalah antara penyair yang puisi-puisinya begitu kuat berpegang kepada akar pantun, terutama melalui puisi-puisi awalnya. Misalnya melalui puisi ‘Jiwa Hamba’ (Utusan Zaman, Mac 1949), penyair menyuarakan keinginan untuk membebaskan puisi daripada ikatan tradisional, namun ternyata kebebasan tidak berlaku sepenuhnya. Perubahan sosiobudaya masyarakat yang berlaku pada ketika itu, membawa kepada pengucapan kebebasan dan kemerdekaan daripada pemerintahan penjajah, tidak mengubah sepenuhnya bentuk puisi yang diungkapkan oleh penyair. Ini dapat dilihat pada contoh petikan puisi ‘Jiwa Hamba’ yang diperlihatkan di bawah;

Termenung seketika sunyi sejenak
Kosong di jiwa tiada penghuni
Hidup terasa diperbudak-budak
Hanya suara melambung tinggi

Berpusing roda beralihlah masa
Pelbagai neka hidup di bumi
Selagi hidup berjiwa hamba
Pasti tetap terjajah abadi

Berdasarkan paparan rangkap-rangkap puisi di atas, didapati hampir keseluruhan bentuk atau struktur luarannya menggunakan pola-pola pantun, iaitu dari aspek susunan rangkap, baris dalam rangkap, perkataan dalam baris dan juga pemakaian rima akhir. Bagaimana pun, ia bukan bentuk pantun sepenuhnya kerana dua sebab. Pertama, dua baris pertama yang dibina dalam rangkap pertama (Termenung seketika sunyi sejenak/Kosong di jiwa tiada penghuni) dan rangkap kedua (Berpusing roda beralihlah masa/Pelbagai neka hidup di bumi) bukan pembayang maksud (sapiran), sebaliknya ia adalah baris-baris maksud yang menjadi kelaziman dalam penulisan puisi moden. Maksudnya, setiap baris dalam setiap rangkap adalah terdiri daripada maksud tanpa pembayang. Kedua, aspek bentuk dalamannya tidak lagi mengungkapkan perasaan dan pemikiran penyair melalui penggunaan perlambangan berunsurkan alam seperti kelaziman dalam pantun. Corak dan bentuk pemaparan yang hampir sama juga boleh dilihat dalam puisi-puisi Usman Awang seperti ‘Ke Makam Bonda’, ‘Guru Oh Guru’, ‘Korban Tanahair’, dan beberapa puisi lain. Gambaran tersebut menunjukkan puisi-puisi moden oleh Usman Awang yang dihasilkan pada zaman sebelum merdeka, menampakkan percubaan untuk membebaskan diri daripada pantun, tetapi ternyata penggarapannya masih belum terlepas sepenuhnya daripada akar puisi Melayu tradisional tersebut.

Seterusnya penyair Firdaus Abdullah adalah antara penyair Malaysia yang memperlihatkan keisitimewaandan kecenderungan tersendiri dalam puisinya dengan pewarnaan baharu dalam suasana pantun.  Dalam beberapa buah puisinya, Firdaus banyak menggunakan peribahasa Melayu sebagai titik tolak pernyataan perasaan dan fikirannya. Dalam puisi ‘Pantun Tiada Bernama’ misalnya, penyair banyak menggunakan pantun dan peribahasa yang dengan sengaja telah dimodifikasi cara dan bentuk pengungkapannya. Usaha pewarnaan baharu tersebut mencerminkan kebijaksanaan penyair menggunakan kebebasan dan kekuatan daya kreativiti. Selain itu, membuktikan bahawa puisi sebagai suatu ekspresi budaya, adalah wajar menerima ciri-ciri persambungan dan perubahan. Perhatikan ungkapan puisi “Pantun Tiada Bernama” seperti yang dipaparkan di bawah:

Entahkan iya entahkan tidak
rahsia hati berhutan rimba
burung rendah mengembang kepak
gerangan di mana sarang tempua.

Entahkan iya entahkan tidak
lautan hati alangkah dalam
apa upaya mengesan jejak
jejak ditimpa hujan malam.

Entahkan iya entahkan tidak
memanglah hati bukannya batu
apakah daya menahan ombak
pantai dihempas berubah tentu.

Entahkan iya entahkan tidak
hati muda ubah berubah
guruh ada hujannya tidak
dua tempayan air tertumpah.

Entahkan iya entahkan tidak
usah disimpan di dalam hati
ayam seekor musangnya banyak
patah tumbuh hilang berganti.

Berdasarkan puisi di atas, didapati hampir keseluruhan bentuk atau struktur luarannya menggunakan pola-pola pantun, iaitu dari aspek susunan rangkap, baris dalam rangkap, perkataan dalam baris dan juga pemakaian rima akhir. Bagaimana pun, dua baris pertama yang dibina dalam puisi ini bukanlah berupa pembayang maksud (sapiran), sebaliknya ia juga adalah baris-baris maksud yang menjadi kelaziman dalam penulisan puisi moden. Namun apa yang jelas, penggarapan puisi moden oleh Firdaus Abdullah ini telah memanfaatkan hampir sepenuhnya asas struktur pantun dalam penciptaan puisi ini.

Begitu juga dengan aspek bentuk dalamannya, puisi ini mengungkapkan perasaan dan pemikiran penyair melalui penggunaan perlambangan berunsurkan alam seperti kelaziman dalam pantun. Contohnya dapat dikesan pada ungkapan-ungkapan berikut:

  1. ‘rahsia hati berhutan rimba’ – melambangkan suatu rahsia perasaan manusia yang sukar untuk ditebak.
  2. ‘lautan hati alangkah dalam’ -melambangkan suatu rahsia hati manusia yang sangat dalam dan tidak terjangkau oleh sorotan pandangan mata fizikal.
  3. ‘jejak ditimpa hujan malam’ – menerangkan suatupengalaman atau kenangan yang telah terhapus oleh waktu dan tidak meninggalkan sebarang petunjuk untuk merungkai rahsia kehidupan.
  4. ‘pantai dihempas berubah tentu’ – menjelaskan bahawa hati adalah segumpal darah yang sentiasa berbolak balik, tidak tetap dan boleh berubah disebabkan hal-hal seperti cabaran atau dugaan yang melanda kehidupan.
  5. ‘dua tempayan air tertumpah’ – menerangkan tentang perbuatan manusia yang sia-sia, lantaran bertindak sebelum suatu kepastian akan kesahihan sesuatu perkara.
  6. ‘ayam seekor musangnya banyak’ – menjelaskan tentang suatu pilihan yang terhad, justeru sesuatu yang diingini manusia juga terhad dan juga diingini oleh orang lain. Oleh itu, kemungkinan untuk memperolehinya adalah tipis.
  7. ‘patah tumbuh hilang berganti’ – menjelaskan tentang suatu kehilangan yang tidak wajar ditangisi dengan kekecewaan yang panjang, sebaliknya manusia perlu berubah untuk menerus kelangsungan hidup dengan pilihan lain.

Berdasarkan apa yang diperlihatkan di atas, jelas menunjukkan bahawa penggunaan perlambangan daripada unsur-unsur alam ditemui dengan banyaknya dalam puisi ini seperti penggunaan diksi hutan, rimba, sarang tempua, hujan malam, batu, ombak, panai, hujan, guruh dan lain-lain yang menjadi penanda kepada sifat-sifat dan situasi tertentu, yang dihubungkaitkan dengan pergolakan jiwa sang penyair.

Seterusnya sebagai sebuah puisi moden (kategori puisi lirik), seluruh puisi ‘Pantun Tidak Bernama’ ini berisi ungkapan, pemikiran dan perasaan penyair.Ini bermaksud penafsiran makna puisi di atas adalah lebih bersifat subjektif. Setiap perasaan dan pemikiran dalam puisi lirik ini adalah timbul daripada kesan peribadi penyair. Oleh itu,dengan mengenal, memahami dan meneliti bait-bait puisi lirik seorang penyair, akan dapat menentukan perubahan-perubahan dalam ruang lingkup dunia keperibadian penyairnya, sehingga puisi lirik ini dikatakan juga sebagai autobiografi batin penyair. Dengan perkataan lain, meskipun bentuk luarannya adalah mengambil suasana atau berasaskan bentuk pantun, namun hakikatnya “Pantun Tiada Bernama” adalah sebuah contoh puisi moden yang masih bertunjang kuat pada akar pantun dalam penciptaanya.

Selain Firdaus Abdullah, penyair Ahmad Sarju juga tampil memanfaatkan akar tradisi, iaitu pantun dalam penghasilan puisinya, seperti yang boleh dikesan dalam contoh puisi ‘Sirih Pinang’, yang diperlihatkan dalam petikan berikut;

seiring madah pantun bersambut
disulam senyum penghidang tamu
mesra berdakap kasih berpaut
persilalah tamu sambut di pintu.

sambut salam sambut bersopan
jengah jenguk ajuk-mengajuk
baru kami menyambut tuan
air didih belumlah sejuk.

Melalui contoh petikan rangkap-rangkap puisi di atas, kelihatandengan jelas akan imej struktur luaran yang menyerupai suasana dan rentak pantun dari segi susunan rangkap, bilangan baris dalam rangkap, perkataan dalam baris, dan juga penggunaan rima akhir a,b,a,b. Walaupun begitu, “Sirih Pinang”bukanlah suatu pengekalan daripada bentuk pantun sepenuhnya. Sebaliknya penciptaannya hanya mengambil acuan pantun untuk membawakan ciri-ciri pesambungan dan perubahan ke dalam pewarnaan baharu terhadap ciptaan puisi moden. Meskipun disusun dalam acuan struktur luaran pantun, tetapi syarat kehadiran baris pembayang dan penggunaan perlambangan berasaskan unsur alam tidak begitu kelihatan jelas dalam puisi di atas. Sebaliknya apa yang digambarkan dalam dua baris pertama bagi setiap rangkap, sama juga seperti pada baris ketiga dan keempat, iaitu semuanya adalah terdiri daripada penyampaian maksud.

Tinggalkan Balasan